Memahami Proses Penuaan
Adakah anda masih berusaha untuk mengekalkan penampilan awet muda anda pada tahun 2024? Ramai di antara kita, terutamanya golongan wanita mempunyai target yang sama untuk mendapatkan proses penuaan yang sihat dan kekal cantik.
Semakin meningkat usia, anda mungkin akan merasa kurang yakin dengan diri sendiri atas faktor penuaan seperti kedutan di wajah, pigmentasi dan rambut beruban. Walau bagaimanapun, penuaan yang berlaku seharusnya diterima sebagai proses semula jadi dan abaikan stereotaip negatif yang mencadangkan penuaan bermakna kelihatan tua dan kusam. Seperti kata-kata seorang eksekutif di syarikat kecantikan terkenal L’Oreal, mari kita mengambil pendekatan yang positif dan menyeluruh terhadap proses penuaan yang sihat untuk mencapai kesihatan dan kecantikan yang optimal.
Apabila kita semakin berusia, kita boleh menjangkakan perubahan yang ketara secara fizikal pada tubuh kita. Sebagai contoh, kulit kita menjadi lebih nipis, kering dan kurang elastis oleh kerana kekurangan lemak di bawah kulit. Selain itu, penuaan juga mengurangi produksi minyak alami dalam tubuh kita, yang menyebabkan kulit menjadi lebih kering (1).
Bukan itu sahaja, malah kita mungkin perlu menjaga kesihatan kita juga. Sistem kardiovaskular juga akan berfungsi dengan kurang efektif apabila usia meningkat. Salur darah dan arteri semakin mengeras, dan jantung perlu bekerja lebih keras untuk mengepam darah (1). Masalah lain mungkin termasuk kelemahan tulang dan sendi dan menjurus pada risiko yang tinggi berlakunya tulang patah. Jadi, penjagaan kecantikan adalah sama pentingnya dengan menjaga kesihatan diri.
Petua Penuaan Sihat
Ramai orang di luar sana mungkin tertanya-tanya bagaimana untuk mencapai penuaan yang sihat dan kekal muda. Jangan risau, kerana ini adalah lima petua berkesan yang boleh dicuba untuk mendapatkan penuaan secara sihat.
- Makan makanan yang seimbang: Pernah mendengar ungkapan “Kamu adalah apa yang kamu makan?” Ya, anda mendengarnya dengan betul! Kunci utama untuk mendapatkan proses penuaan semulajadi adalah dengan menjaga pemakanan yang diambil. Meskipun nasihat ini sudah sering didengar, namun, amalan mengambil diet seimbang bermanfaat untuk mengekalkan awet muda. Sebagai contoh, pilih bahagian daging tanpa lemak, jenis ikan berlemak kaya dengan Omega 3 dan sumber makanan lemak tidak tepu (2). Selain itu, ambil sekurang-kurangnya 3 hidangan sayur-sayuran dan 2 hidangan buah-buahan dan pastikan minum air secukupnya dalam anggaran 7-8 gelas dalam sehari (3).
- Makanan Tambahan Vitamin D: Makanan tambahan seperti suplemen Vitamin D membantu dalam anti-penuaan dan kecantikan. Beberapa kajian penyelidikan telah mencadangkan bahawa pengambilan vitamin D mempunyai kesan yang menjanjikan dalam anti-penuaan. Ia membantu dalam penghasilan kolagen dan menghalang metalloproteinase matriks (MMPs) (4). Secara amnya, tidak ramai yang cakna tentang kebarangkalian kekurangan Vitamin D dalam badan. Kekurangan nutrien ini boleh mengakibatkan masalah kognitif, kardiovaskular dan tulang (2). Oleh itu, salah satu cara untuk mendapatkan vitamin D semula adalah dengan berjalan di luar di bawah sinar matahari selama kira-kira 15-20 minit sehari. Kaedah ini berkesan bagi membantu mendapatkan vitamin D yang anda perlukan atau juga anda boleh peroleh Vitamin D daripada jenis ikan berlemak kaya Omega 3 dan sumber telur (2).
- Suplemen Kecantikan: Penggunaan suplemen kecantikan juga agak popular pada masa kini untuk membantu masalah penuaan. Baru-baru ini, majalah Beauty Insider menyenaraikan produk Nicotinamide Mononucleotide (NMN) sebagai salah satu suplemen kecantikan terbaik yang terdapat di pasaran (5). Ini mungkin berkesan untuk kulit wajah kekal cantik.
- Cergas Fizikal: Bagi proses penuaan yang sihat, kita mesti menjaga kesihatan fizikal kita. Libatkan diri dalam pelbagai senaman dan aktiviti fizikal untuk memastikan badan kita cergas. Cuba bersenam sekurang-kurangnya 150 minit dalam seminggu (2). Jika anda rasa sukar untuk dicapai, cuba mulakan dengan kadar yang singkat dahulu. Konsisten dengan senaman sederhana selama 30 minit setiap sesi dalam sehari (3).
- Berhenti Merokok: Cuba berhenti merokok. Ini kerana merokok bukan sahaja boleh memberi impak dalaman pada kesihatan dan juga menjejaskan kulit secara tidak langsung. Akibat daripada merokok, ia boleh menyebabkan kedutan pramatang, kulit kendur, dan penampilan fizikal kita kelihatan tua (6). Berhenti bukan sahaja akan membantu dalam pencegahan penuaan kulit tetapi juga meningkatkan tahap kesihatan. Ia boleh mengurangkan risiko kanser, serangan jantung, dan penyakit paru-paru (7).
Kesimpulannya, mengekalkan penampilan awet muda boleh dicapai melalui gabungan pelbagai teknik seperti mengamalkan pemakanan yang sihat, memastikan pengambilan vitamin D yang mencukupi melalui makanan atau melakukan aktiviti diluar, dan mempertimbangkan manfaat produk kecantikan semuanya boleh menyumbang kepada kulit yang berseri. Selain itu, mengutamakan kecergasan fizikal dan berhenti merokok bukan sahaja membantu dari segi penampilan fizikal tetapi juga meningkatkan tahap kesihatan dan kesejahteraan secara keseluruhan. Akhir kata, setiap individu harus menerima proses penuaan dengan baik kerana ia adalah salah satu proses semulajadi yang akan berlaku seiring dengan bertambahnya usia kita.
Rujukan:
- Mayo Clinic. (2023, September 20). Aging: What to expect. https://www.mayoclinic.org/healthy-lifestyle/healthy-aging/in-depth/aging/art-20046070
- AgeUK. (2023, April 10). 10 tips for ageing better. https://www.ageuk.org.uk/information-advice/health-wellbeing/mind-body/10-tips-for-ageing-better/
- NCCFN. 2021. Malaysian Dietary Guidelines 2020. National Coordinating Committee on Food and Nutrition, Ministry of Health Malaysia.
- Danimayostu, A. A., Martien, R., Lukitaningsih, E. & Danarti, R. (2023). Vitamin D3 and Molecular Pathway of Skin Aging. Indonesian Journal of Pharmacy, 34(3), 2023, 357-371. Journal.ugm.ac.id/v3/IJP
- Ariffin, B. (2023, February 16). The Best Beauty Supplements of All Time for Malaysia’s Beauty Junkies. Beauty Insider Malaysia. https://beautyinsider.my/best-beauty-supplements-in-malaysia/
- Smoking’s Effect on the Skin: How Smoking Ages You. (n. d.). Tobacco Tree Life. https://tobaccofreelife.org/resources/smoking-effect-skin/
- National Institute of Aging. (2022, February 23). What Do We Know About Healthy Aging?. https://www.nia.nih.gov/health/what-do-we-know-about-healthy-aging
- Prevent Premature Skin Aging. Complete Family Dermatology. (2021, April 20). https://www.completefamilydermatology.com/blogs/skin-aging/